Sabtu, Disember 06, 2008
wanita istimewa...yang bersemangat waja..
Kilang arang punca rezeki wanita gigih Kuala Sepetang
Oleh Mohd Azis Ngah
azis@bharian.com.my
Kerja bermula dari membuang kulit kayu bakau hinggalah mengeluarkan arang daripada 'iglu'
USIANYA mencecah 65 tahun. Layaknya seorang wanita seperti ini boleh dibiarkan bersenang lenang di rumah sambil melayan cucu menghabiskan masa menjelang penghubung usia.
Namun, bagi warga emas, Sapiah Hitam, sejak kematian suami 12 tahun lalu, beliaulah bapa dan ibu kepada tujuh anaknya. Walaupun kini semua anaknya sudah besar dan mampu berdikari, Sapiah sedar mereka juga bukannya hidup senang seperti orang lain.
Atas dasar itulah beliau meneruskan kerja di kilang arang kayu bakau di Kuala Sepetang, Perak sejak 20 tahun lalu. Selayaknya beliau kini menerima bayaran pencen pada usia itu, tetapi situasi jauh berbeza bagi Sapiah. Jika tidak bekerja, siapa yang akan menanggung perbelanjaan harian.
“Siapa nak bagi anak makan. Saya ada tujuh anak, syukur sampai sekarang saya masih mampu bekerja. Tuhan bagi kekuatan mencari rezeki. Anak saya pun kerja di sini,” katanya merujuk kepada Zuraida Talib, 24, juga bekerja di bahagian mengeluarkan arang dari dapur pembakaran di kilang berkenaan.
Kerjanya bukan senang. Bersama enam lagi wanita termasuk Zuraida, mereka mengambil upah mengeluarkan arang daripada dapur besar berbentuk iglu untuk diproses dan dibungkus sebelum ia dipasarkan.
DAPUR berbentuk 'iglu' tempat membakar arang.
Mukanya penuh calitan arang, tetapi senyumannya tetap terukir di bibir melihat aksinya dirakam kamera. Gelagatnya turut mencuit perasaan rakan setugas.... kata mereka selepas ini Sapiah akan menjadi popular dan jangan lupakan mereka.
“Macam mana nak ambil gambar ni, muka pun lebih hitam daripada arang,” katanya berseloroh sambil mengangkat keluar kayu bakau yang sudah siap dipotong.
Sapiah dan anaknya adalah sebahagian daripada wanita yang bekerja di kilang arang itu. Mereka digelar suri arang iaitu sekumpulan wanita pelbagai lapisan usia yang menjadikan produk arang Kuala Sepetang antara yang terkenal untuk pasaran tempatan dan antarabangsa terutama ke Jepun.
Kerja di kilang arang tidak semudah yang disangkakan. Ketika wanita di zaman moden ini mementingkan kecantikan, penampilan diri yang kemas dan menarik, situasi itu jauh berbeza dengan kumpulan suri arang.
Memang diakui, antara menjaga penampilan diri atau keperluan mencari rezeki, kedua-duanya sama penting terutama bagi wanita moden dan bekerjaya khususnya yang membabitkan aspek perhubungan dengan orang ramai setiap hari.
Namun, suatu yang jauh berbeza dan jarang diketahui umum, wanita di sini nyata mempunyai penampilan berbeza untuk mencari rezeki.
Soal bersolek, berpakaian cantik, kemas diketepikan sama sekali. Semua itu dianggap remeh dan tidak perlu difikirkan sangat kerana lebih penting mereka berdoa setiap hari semoga sentiasa sihat untuk bekerja.
Berita Minggu yang meninjau kehidupan kumpulan pekerja wanita di kilang arang ini mendapati mereka seronok dan gembira dengan apa yang mereka lakukan, berpegang pada prinsip ‘asalkan ia halal’, kami tak kisah lakukan semua ini.
Seorang lagi ibu tunggal, Hasnah Hussin, 54, juga mengalami nasib yang sama. Walaupun baru empat tahun bekerja di situ, ia menjadi sumber pendapatan tetapnya menyara keluarga selepas kematian suami lima tahun lalu.
“Empat daripada lima anak saya dah berkahwin. Saya tinggal dengan anak lelaki bujang, bekerja nelayan. Jika nak harapkan dia seorang, tentu teruk sebab nelayan ni rezekinya tak tentu, kadang-kala ada, kadang kala langsung tak dapat.
“Jadi, inilah tempat saya mencari rezeki. Datang jam 8 pagi, habis jam 1 tengah hari,” katanya yang juga dianggap sebagai warga emas berbanding rakan setugas lain, Norizan Abd Rashid, 33 dan Zurina Khalid, 34.
Di kilang bersebelahan, kami menemui dua lagi wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Che Su, 40, dan Kak Yam, 39, berganding bahu menyiapkan kerja membuang kulit bakau. Menggunakan pisau panjang diikat kayu rotan, mereka cukup tekun dan sabar.
Asalnya, mereka berdua bekerja di sebuah kilang elektronik di Pulau Pinang tetapi disebabkan masalah pengangkutan, mereka terpaksa berhenti kerja dan mencuba nasib di kilang arang. Layaknya kerja itu cuma dilakukan lelaki, tetapi mereka membuktikan wanita juga mampu jika mahu.
“Ini punca rezeki kami. Kalau tak kerja, dapur tak berasap. Dah empat tahun saya kerja, mula jam 8 pagi sampai 12 tengah hari, kadang kala sampai 2 petang. Kalau ada bekalan kayu lebih, kami balik rumah tengah hari dan datang semula sebelah petang,” kata Che Su.
Dengan upah 17 sen bagi setiap batang kayu bakau yang dibuang kulit, Che Su dan Kak Yam mampu menyiapkan lebih 200 batang sehari atau dalam perkiraan mudah, mereka mendapat upah kira-kira RM35 sehari. Jika dibahagi dua, seorang akan memperoleh RM17 sehari.
Kadar pendapatan bergantung kepada berapa jumlah kayu yang dibersihkan. Menjelang musim perayaan atau musim baru persekolahan, mereka akan bekerja lebih kuat untuk mencari perbelanjaan tambahan.
Rakan mereka, Zamri Zainon, 40, juga bekerja di situ sempat mengusik, katanya jika Kementerian Belia dan Sukan mahu mencari bakat sukan dalam acara lempar cakera, merejam lembing, datanglah ke sini, ramai wanita kuat dan cekal bekerja di sini.
INFO: Kadar bayaran bekerja di kilang arang
17 sen sebatang bagi kerja mengopek kulit kayu bakau
RM37 seorang bagi upah mengeluarkan semua arang didapur (kebiasaannya mampu disiapkan dalam tempoh sehari).
14 sen sebungkus upah di bahagian pembungkusan.
Jenis kayu arang
Kayu bakau minyak (Rhiziphora apiculata)
Kayu bakau kurap (Rhizophara mucronata).
Proses: 1) Pertama
Kayu bersaiz ukur lilit kira-kira 8 inci dipotong sepanjang empat meter.
Kayu bersaiz lebih 8 inci dibuang kulit di hutan dan saiz kurang 8 inci dibuang kulit di kilang.
2) Kedua: Pembakaran
Kayu disusun menegak di dalam ‘dapur’ tanah liat dan bata berbentuk iglu, berdiameter 6.7 meter.
Satu dapur diisi antara 14,000 hingga 15,000 kg kayu atau 1,500 barang (4 tan).
Pintu utama bersaiz kecil diguna untuk menyalakan api besar selama 7 hari.
Selepas 7 hari, saiz api akan dikecilkan dan dibiarkan selama 10 hingga 12 hari
Suhu api di dapur mencecah sehingga 85 darjah celsius bertujuan mengeringkan air kayu bakau.
Dapur mempunyai lubang kecil di atasnya untuk mengeluarkan asap dan pekerja menghidu baunya untuk mengetahui arang sudah masak atau tidak.
3) Ketiga: Penyejukan:
Api dipadamkan dan pintu dapur ditutup menggunakan simen antara 10 hingga 13 hari.
Selepas proses hampir sebulan, semua kayu dikeluarkan untuk dibungkus.
4) Keempat: Pembungkusan
Dibungkus dengan kertas khas yang ditimbang antara 4.5 kilogram dan 5 kg.
Arang dibungkus terus arang di situ atau dihantar ke Kuala Kangsar, Perak untuk di eksport.
# teladan cerita diatas : kasihi ibu bapa kita , bantulah sebanyak -sebaik mungkin , gembiraan hati mereka sebelum mereka pergi selama-lamanya.
# percayalah rezeki , jodoh , maut dan pertemuan milik ALLAH TAALA . BEKERJA BERSUNGGUH-SUNGGUH ( ITQAN ), BERDISPLIN DAN BERTAQWA .. INSYAALLAH ..REZEKI mu terbentang luas
# memandangkan kami ( madu3 ) membuat kerja pembersihan dan membaiki kerosakan umah kuarters dan klinik yang nampak kasar , busuk dan kotor .....rupa-rupanya ada rezeki yang tersembunyi dan bernilai pada mereka yang sabar , suka cabaran dan sihatcergasceria....sekurang-kurangnya pengalaman nak uruskan umah-umah bakal isteri-isteri mudah sikit ( hehehehehe )