Ahad, Februari 01, 2009

majlis pelancaran & ops denggi di SEK 7 , SHAH ALAM












....................................................................................
Segera lapor kes denggi kepada Jabatan Kesihatan
01/02/2009 4:17pm


SHAH ALAM 1 Feb. — Semua doktor di klinik swasta mahupun kerajaan diarah segera melaporkan kes demam denggi kepada Jabatan Kesihatan negeri walaupun penyakit seseorang pesakit baru di peringkat disyaki, bagi membolehkan langkah kawalan dilakukan dengan cepat.

Menteri Kesihatan Datuk Liow Tiong Lai berkata seseorang doktor tidak perlu menunggu mendapat pengesahan penyakit yang dihadapi pesakitnya sebelum mengemukakan laporan kerana masa di peringkat disyaki adalah penting.

“Apa yang berlaku sekarang ialah doktor di klinik swasta menunggu pengesahan penyakit sehingga empat atau lima hari sebelum menghantar laporan, menyebabkan langkah susulan sukar diambil bagi mengawal wabak denggi,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Kempen Perangi Denggi di sebuah flat di Seksyen 7 di sini,hari ini.

Liow, yang juga Naib Presiden MCA, berkata kementeriannya telah menyiapkan satu kertas kerja berhubung langkah mendapatkan kerjasama kementerian lain bagi menangani masalah sarang pembiakan Aedes di kawasan rumah terbiar.

Katanya tindakan drastik diperlukan bagi mengesan dan memusnahkan sarang nyamuk Aedes untuk mencegah perebakan wabak denggi kerana notis 14 hari yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan kepada pemilik rumah terbiar, terlalu lama.

“Jika kita tahu ada rumah terbiar yang menjadi sarang nyamuk, kita perlu tukar prosedur ini (notis 14 hari) kerana tindakan cepat perlu untuk membolehkan pegawai kesihatan masuk ke kawasan rumah terbiar dalam masa lebih singkat bagi mengambil tindakan,” katanya.

Berdasarkan statistik terbaru, Liow berkata sebanyak 2,821 kes demam denggi dilaporkan kepada Jabatan Kesihatan Selangor dalam tempoh empat minggu pertama tahun ini, menjadikan Selangor sebagai negeri tertinggi melaporkan kes demam denggi.

Daerah Petaling melaporkan 973 kes atau 34 peratus daripada keseluruhan kes yang dicatatkan dalam tempoh itu.

“Di daerah Petaling juga terdapat 37 kawasan yang dikenal pasti sebagai kawasan berlaku kejadian denggi berpanjangan melebihi 14 hari dan 73 peratus daripada kawasan ini terletak dalam kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT),” kata beliau.

— BERNAMA

refer : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0201&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_08.htm
sihatcergasceria..& the endavour to achieve more's..