Khamis, Februari 12, 2009
perkhidmatan merekabentuk dan menghasilkan BAHAN KEMPEN & CETAK " OPERASI DENGGI " untuk JKWPKL & PUTRAJAYA
- OPERASI RFI ( request for information )dan " OPERASI DENGGI " ini akan diketuai oleh : cik mulia
....................................................................................
tazkhirah : BALA ATAU UJIAN, MUHASABAH DALAM HIDUP MUKMIN
Firman Allah swt dalam surah al-Syura ayat 30 maksudnya : Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa); dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu.
Jika diperhatikan ayat di atas dengan cermat kita secara jujur akan dapat menangkap pesan-pesan moral ilahi dengan kesedaran bahawa Tuhan menimpakan azab dengan tujuan mengingatkan hambaNya yang selalu lalai.
Hakikatnya musibah yang berlaku ini begitu sulit untuk dihapuskan dari memori kolektif, bukan sahaja oleh penduduk di Palestin yang diserang zionis, tetapi oleh kita semua. Kesan serangan ini terlalu dahsyat hingga infrastruktur di negeri-negeri terlibat menjadi lumpuh.Trauma serangan yang berlaku belum selesai, tiba-tiba ia berterusan dengan lebih teruk berganda lebih dari yang dijangkakan.
Musibah, tentunya berbeza dari azab.Dalam perspektif Islam, musibah merupakan satu bentuk perkara yang menimpa bertujuan menilai kesabaran dan kekuatan mental umat Islam.Perkara ini jelas dinyatakan Allah menerusi firmanNya dalam suarah al-Baqarah ayat 155, maksudnya : " Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar:
Selain itu musibah juga berlaku bertujuan menampakkan rahmatNya kepada makhluk yang bernama manusia agar tidak melupakan kehambaannya dan tidak menyombongkan diri.FirmanNya dalam surah al-Hadid ayat 22-23 yang bermaksud : Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (Kamu diberitahu tentang itu) supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput daripada kamu, dan tidak pula bergembira (secara sombong dan bangga) dengan apa yang diberikan kepada kamu. Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.
Azab pula adalah satu hukuman terhadap mereka yang tidak mensyukuri nikmat Allah dan mengengkarinya.FirmanNya dalam surah Ibrahim ayat ke 7 , maksudnya : Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras".
Istilah azab atau laknat khusus diturunkan buat golongan yang derhaka terhadap perintah Allah, seperti azab yang menimpa kaum Nabi Nuh contohnya.Firman Allah swt dalam surah Yunus ayat 73-74 : Mereka tetap juga mendustakan Nabi Nuh, lalu Kami selamatkan dia bersama-sama pengikut-pengikutnya yang beriman di dalam bahtera, dan kami jadikan mereka pengganti-pengganti (yang memakmurkan bumi) serta Kami tenggelamkan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami (dengan banjir dan taufan sehingga punah-ranah semuanya). Maka lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang (yang mendustakan ayat-ayat kami) setelah diberi amaran. Kemudian Kami utuskan sesudah Nabi Nuh, beberapa orang Rasul kepada kaum masing-masing; lalu Rasul-rasul itu datang kepada kaum mereka dengan membawa keterangan-keterangan yang nyata; dalam pada itu kaum mereka tetap juga tidak mahu beriman kepada apa yang mereka telah mendustakannya sebelum itu. Demikianlah, Kami meteraikan atas hati orang-orang yang melampaui batas.
Setelah mengetahui perbezaan antara kedua terminology al-Quran ini , tibalah kita di satu persimpangan yang penting untuk membuat satu muhasabah diri, apakah perkara yang berlaku merupakan satu musibah yang mengandungi di sebaliknya kasih sayang Allah buat kita ataupun sebaliknya satu azab yang diturunkan kepada orang yang tidak mengerti erti syukur kepadaNya.
Bagi orang-orang yang beriman, musibah yang menimpa dihadapi dengan tabah, menyemarakkan lagi semangat kasih sayang terhadap Tuhannya, menghayati wasiat Nabi yang mulia maksudnya : " Pelik sikap orang yang beriman, apabila ditimpa atasnya satu nikmat dia bersyukur, maka baginya pahala, demikian pula sebaliknya apabila ditimpa azab, maka dia bersabar, maka baginya pahala, dan tiadalah sikap begitu pada orang selain mereka".Natijah daripada berfikiran positif inilah keimanan meningkat kepada kualiti yang lebih berbanding sebelumnya.
Jika dilihat dengan pandangan yang lebih mendalam berteraskan 'Ainil Basirah kepada bencana yang menimpa negara di tempat yang kebanyakannya dihuni oleh umat Islam, kita mampu membuat kesimpulan bahawa ianya merupakan ujian untuk mempertingkatkan kualiti hidup umat Islam itu sendiri.
Harus disedar bahawa dalam reality hidup bahawa kesusahan merupakan sunnatulLah yang akan menympurnakan warna warni corak kehidupan.SunntaulLah dalah suatu kanun yang tetap berlaku secara istiqamah selama kita berada di alam dunia.Firman Allah dalam surah al-Rum ayat 30 , maksudnya : tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu; itulah ugama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.
Rela atau tidak , pastinya manusia akan diuji sebagaimana yang dijelaskan dalam surah al-Baqarah ayat ke 155 : Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.
Pada dasarnya manusia tidak gemar kesusahan.Apatah lagi jika kesukaran itu diiringi dengan kepedihan kehilangan, kematian dan janji-janji kosong.Namun demikian, jika dikaji secara mendalam , di sebalik pengalaman-pengalaman pahit yang dilalui sebenarnya tersirat hikmat yang cukup luarbiasa daripadaNya.Kesulitan akan menyebabkan terhasilnya pengetahuan, kerana ia menjadi pengalaman yang cukup berharga untuk menghadapai hari depan dengan lebih kuat dan kraetif.
Mengahdapi ujian ini, muslim perlu memperlengkapkan dirinya dengan petua-petua berikut:
Pertama : Hendaklah berbaik sangka dengan Allah yang telah mentakdirkan ujian yang berlaku.Hakikatnya semua orang akan melihat sudut yang negative tentang apa yang berlaku, sedangkan terdapat banyak perkara yang positif di sebaliknya.Hanya orang yang bijak dan sabar sahaja yang akan memperolehi perkara-perkara positif di sebaliknya.Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 216 maksudnya : "dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.Barangkali tepat untuk dikemukakan bandingan yang diberikan oleh Muhammad al-Ghazali : " Jika anda diberi segelas air jeruk yang masam, janganlah dibuang tapi tambahlah gula padanya!
Kedua, muslim hendaklah meneruskan kehidupan seperti biasa, meneruskan agenda hidup dengan keceriaan dan bahagia.Benar kata-kata mereka : " Life has to carry on".Kita tidak sepatutnya berlarutan dalam duka.Lakukan latihan-latihan yang dapat meneruskan kesinambungan hidup secara-konsisten.
Ketiga, hadapilah ujian dengan objektif tanpa panic dan bayangkan suasana yang lebih baik yang pasti akan berlaku selepas ini.Firman Allah swt dalam surah al-Syarh ayat ke 5-6 maksudnya : Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, (Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.
Ke empat pelihara iman kerana ia merupakan energi hidup.Teruskan kesinambungan hidup dengan membersihkan hati agar menyinar nur keimanan dalm diri buat bekalan menghadapi kesusahan dengan semangat dan ketabahan.Orang yang sengsara bukanlah orang yang kehilangan harta benda tetapi orang yang terkikis dan terhakis imannya dek kegagalan menghadapi kepayahan yang sementara, sanggup memperdagangkan iman kerana mengelakkan kerugian harta.
Dan wasiat terakhir, hadapilah hari-hari ini dengan memperbanyakkan munajat dan berdoa kepada Allah.Antara doa yang menjadi amalan salaf yang dianjurkan oleh Nabi apabila mengahdapi kesusahan dan kesedihan ialah dengan berdoa : “Ya Allah, sesungguhnya aku adalah hambaMu, anak hambaMu (lelaki) dan anak hambaMu (perempuan) . Ubun-ubunku dalam gengamanMu, hukumanMu berlalu kepadaku, Qada’ ( keputusan ) Mu kepadaku adalah adil, aku mohon kepadamu dengan setiap nama yang telah engkau berikan untuk diriMu, atau yang Engkau turunkan dalam kitabMu, atau yang Engkau ajarkan kepada seseorang dari makhlukMu atau yang engkau simpankan dalam perbendaharan ghaib dari ilmuMu, agar Engkau jadikan al-Quran sebagai penyejuk hatiku , cahaya dadaku, pelenyap dukaku dan penghilang kesedihanku”.( HR Ahmad dan Ibn Hibban, dianggap sahih oleh al-Albani dalam silsilah al-Ahadith al-Sahihah ) .
Semuga setiap muslim dikurniakn Allah sifat kekuatan oleh Allah mengadapi musibah dalam apa bentuknya sekalipun dnegan keimanan dan ketenangan.
sumber : http://zahazanmohamed.blogspot.com/2009/01/bala-atau-ujian-muhasabah-dalam-hidup.html
sihatcergasceria..& the endavour to achieve more's..