Isnin, September 01, 2008
Perutusan Khas sempena Ramadan...
Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat
Mon | Sep 01, 08 | 9:27:56 am MYT
Alhamdulillah kita dipertemukan kembali dengan bulan penuh rahmat dan keampunan daripada Allah Subhanawataala. Saya merakamkan ucapan selamat menyambut Ramadan al-Mubarak kepada seluruh rakyat Malaysia dan umat Islam di pelusuk dunia.
Menjadi kebiasaan kita orang Melayu mengenali Ramadan sebagai bulan puasa. Tanpa disedari sebutan yang sudah lama berakar umbi itu tidak tepat dengan pengertian sebenar Ramadan.
Ramadan bukan sekadar dihiasi dengan ibadat puasa yakni menahan diri daripada makan, minum dan apa sahaja yang membatalkan puasa kerana takrifan sebenarnya lebih luas lagi.
Puasa juga sebenarnya boleh dilakukan pada bulan lain, seperti yang menjadi amalan sesetengah daripada kita iaitu bulan Rejab dan Syaaban. Sebab itulah penggunaan istilah Ramadan lebih tepat bagi menggambarkan maksud dalam melaksanakan amal ibadat sepanjang bulan penuh berkat ini.
Ramadan juga membawa maksud bulan kebajikan di mana di dalamnya ada zakat fitrah yang menjadi kewajiban dilaksanakan setiap umat Islam. Umat Islam amat digalakkan bersedekah sebagai melengkapkan amalan ibadat puasa kita di siang hari.
Ini kerana di sekeliling kita ada mereka yang kurang bernasib baik. Maka pada kesempatan ini kita hulurkan sedikit sumbangan kepada mereka.
Oleh itu saya mengajak umat Islam menggunakan kesempatan Ramadan kali ini bagi menggandakan amal ibadat serta memohonkan keampunan daripada Allah Taala. - aza_
....................................................................................
Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang
Umat Islam seluruh dunia termasuk di Malaysia menyambut kedatangan bulan yang paling mulia dalam kalendar Islam, Ramadan al-Mubarak dengan penuh kegembiraan dan keinsafan.
Ia bukan sekadar bulan diwajibkan berpuasa tetapi lebih penting pada bulan ini hukum dan perlembagaan tertinggi buat umat manusia, al-Quran, diturunkan Allah SWT.
"Bulan Ramadhan, yang di dalamnya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan (antara yang benar dan salah)." (maksud al Baqarah: 185)
Melalui al-Quran, maka Allah menyelesaikan segala kemelut dan permasalahan manusia khasnya bagi mereka yang mahu menjunjung dan melaksanakannya.
Oleh itu bulan Ramadan ini bukan sekadar bulan ruhiyah (spiritual) bagi mereka yang tekun menghayatinya tetapi ia sebenarnya bulan siyasiyah (politik) kerana di bulan inilah hukum dan peraturan lengkap bagi manusia diperturunkan Allah SWT kepada Rasul-Nya s.a.w.
Di samping kita mengejar manfaat dan kelebihan Ramadan sebagai bulan ruhiyah kita juga wajar menghayatinya sebagai bulan siyasiah bagi mengembelengkan seluruh tenaga dalam meyakinkan segenap lapisan masyarakat bahawa formula untuk menyelamatkan agama, bangsa dan negara kita hanyalah apabila kita kembali kepada al-Quran yang diturunkan pada bulan ini di samping berpegang teguh kepada Sunnah Rasul-Nya.
Di bulan penuh barakah ini jangan sekali-kali kita lupa nasib saudara-saudara kita di bumi Islam yang sedang bergolak khasnya di Palestin, Iraq dan Afghanistan, di samping mereka yang sedang bertarung nyawa di Chechnya, Selatan Filipina, Selatan Thai dan lain-lain.
Titipkanlah doa di bulan yang penuh rahmat ini, mudah-mudahan Allah SWT memberikan kemenangan dan kejayaan kepada mereka setelah sekian lama hidup dan menderita dalam kesengsaraan, darah dan air mata.
Semoga Ramadan ini mampu membangkitkan kesedaran kita untuk mempertingkatkan amal ibadat menuju keredaan Allah di samping menyedarkan kita bahawa hanya Islam penyelamat kita di dunia dan di akhirat, lantas marilah kita sama-sama kembali kepadanya.
Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan "Ramadan Kareem" kepada semua umat Islam, mudah-mudahan kekuatan dan semangat yang terbentuk sepanjang Ramadan ini akan terus memperteguhkan iltizam kita untuk sama-sama membela, mempertahan dan memperjuangkan Islam hingga ke akhir hayat. -
Presiden PAS
sumber :http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=016747&Itemid=85
gambar : http://www.iluvislam.com/v1/photogallery.php?album_id=1&rowstart=20
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan