Ahad, November 30, 2008
Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang direjam
Tafsir al-Fansuri (1)
Fahri Abdullah al-Masri
Sun | Nov 30, 08 | 4:16:43 pm MYT
Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang direjam.
Apabila salah seorang daripada kita membaca ayat al-Qur'an, maka hendaklah dimulakan dengan membaca kalimah taawwuz, iaitu suatu lafaz untuk mengingatkan diri kita sendiri agar tidak terpesong fikiran daripada memahami al-Qur'an.
Dan sebagai kebiasaannya, urusan memesongkan fikiran dan niat ini banyak sekali terkait dengan bisikan syaitan. Hal ini sesuai sekali dengan saranan daripada Allah s.w.t sendiri sebagai yang termaktub di dalam al-Qur'an.
"Maka apabila kamu membaca Al-Qur'an, maka hendaklah kamu memohon perlindungan kepada Allah dari syaitan yang terkutuk." (An-Nahl: 98).
Pernah juga sekali peristiwa, Iblis menipu Nabi Adam a.s dengan memesongkan fikiran baginda sehingga akhirnya baginda menyangka tujuan Allah melarangnya memakan buah larangan itu adalah kerana Tuhan tidak mahu Adam kekal berada di dalam syurga!
Alam ini ibarat al-Qur'an juga. Membaca alam, membaca pengalaman bagaikan membaca al-Qur'an. Kitab ini juga selalu membawakan contoh-contoh perumpamaan alam. Maka, pada ketika Adam a.s 'membaca' sebahagian daripada alam (al-Qur'an) dengan melihat ke arah buah larangan itu, maka ada kemungkinan baginda terlupa membaca lafaz ta'awwuz, sebagai benteng perlindungan daripada tipudaya syaitan.
Allah s.w.t adalah sumber terkuat dan benteng yang teragung daripada segala tipudaya daripada hasutan syaitan ini. Dan syaitan ini bukanlah saja muncul terbit dalam kalangan jin, malah manusia juga. Tepat sebagai yang disebutkan oleh Nabi Yusuf a.s.
.."Dan kalau Engkau tidak hindarkan daripadaku tipu daya mereka, tentulah aku akan cenderung untuk (memenuhi keinginan mereka), dan tentulah aku termasuk orang-orang yang berdosa." (Surat Yusuf: 33)
Lihat juga apa yang dibicarakan oleh Nabi Musa. Berlindung daripada penyakit kejahilan adalah juga suatu doa yang pernah diungkapkan oleh para nabi dan rasul.
Dan (ingatlah), ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: "Sesungguhnya Allah menyuruh supaya kamu menyembelih seekor lembu betina". Mereka berkata: "Adakah engkau hendak menjadikan kami ini permainan?" Nabi Musa menjawab: "Aku berlindung kepada Allah daripada menjadi salah seorang dari golongan yang jahil (yang melakukan sesuatu yang tidak patut)". (al-Baqarah:67)
Ringkasan awal yang kita boleh ambil di sini ialah, hal memohon perlindungan ini adalah bertujuan menyelamatkan diri daripada tipudaya, pemesongan fakta syaitan terhadap isi kandungan al-Qur'an sebagai yang pernah dilakukan mereka ke atas kaum Yahudi yang telah memesong, menulis dan meminda ajaran Taurat dan Injil.
Ini kerana, syaitan-syaitan daripada golongan jin khasnya dan manusia secara umumnya akan selalu mencari ikhtiar, usaha memesongkan manusia seluruhnya daripada al-Qur'an.
Berlindung daripada fitnah keduniaan
"Dan (aku berlindung) dari buruknya fitnah kekayaan." (Riwayat al-Bukhari)
Berdasarkan hadis ini, kita dapat mengetahui bahawa mencari kekayaan itu tidak salah. Wang dan harta itu tidak pernah bersalah kerana kewujudannya. Yang menjadi masalah ialah wujudnya 'fitnah' (ujian) terhadap kekayaan tadi.
Kalau mereka kaya, nantinya mereka akan bersifat kedekut, enggan mengel;uarkan zakat, enggan membantu fakir miskin dan cenderung menindas marhaen dengan cara merampas tanah milik mereka dengan apa cara sekali pun termasuk melalui perundangan.
Pendek kata, walaupun secara moralnya mereka bertindak zalim dan kejam, tetapi biarlah secara perundangan, mereka kelihatan bersih dan berhak mendapatkan tanah itu.
Jika mereka miskin, nanti mereka mungkin cenderung terjebak dalam urusan merompak, menyamun, bermain judi, menikam nombor ekor dan lainnya kerana mereka suka ambil cara mudah serta jalan pintas menuju pintu kekayaan.
Rasulullah s.a.w juga, dalam urusan memohon perlindungan daripada hal keduniaan ini, sering menganjurkan kita berdoa sebagai doa di bawah:
"Ya Allah aku berlindung kepadaMu dari hati yang tidak khusyuk dari doa yang tidak didengar, dari jiwa yang tak puas, dan dari ilmu yang tak bermanfaat. Dan aku berlindung kepadaMu dari golongan mereka yang empat macam itu." (At-Tirmidzi dari Ibnu Umar).
Maka, pecahan daripada hal meminta perlindungan ini terpecah kepada banyak bahagian pula. Hati yang tidak khusyuk itu adalah salah satu penyakit yang perlu kita hindari. Jadi, dan usahakanlah agar hati sentiasa khusyuk, menumpukan perhatian kepada Allah.
Kedua, perlindungan daripada doa yang tidak didengar. Kita sering mendengar ayat-ayat al-Qur'an yang menyebutkan bahawa, mintalah apa sahaja, nescaya Tuhan akan kabulkan permintaan itu. Rupa-rupanya, ada sejenis doa yang tidak didengar.
Apakah doa tak termakbul kerana doa itu tidak didengar? Mahu suci Allah daripada sifat tuli dan tidak mendengar. Ada kemungkinan doa ini tergantung dan tidak sampai menuju rahmat Tuhan. Maka, kita diminta berlindung daripada bahaya ini juga.
Ketiga, jiwa yang tidak puas atau sentiasa tidak meredhai segala apa-apa yang diputuskan oleh Tuhannya. Jadi hati dan jiwa ini bermasalah besar kerana segala ujian itu sebenarnya untuk membasuh luka pada dosanya atau bertujuan meningkatkan maqamnya.
Keempat, kita diminta berlindung daripada ilmu yang tak bermanfaat. Adakah ilmu-ilmu yang dipelajari di universiti misalnya mendatangkan manfaat kepada rakyat keseluruhan? Atau, setidak-tidaknya, adakah ilmu itu membawa manfaat ke atas diri sendiri?
Jika tidak kenapa masih ramai pelajar yang menganggur kerana sijil ijazah dan kelayakan mereka tak diperlukan oleh pihak-pihak tertentu? Kalau ditinjau secara umum, mungkin ilmu yang tak bermanfaat itu ialah ilmu yang diperlajari itu, pada akhirnya tiada seorang pun yang akan mendapat manfaat daripadanya. Wallahu'alam..
4:12 p.m, 30 November
Sekolah Pemikiran Kg Baru _
REFER : http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=18139&Itemid=1
SUMBER GAMBAR : http://msomelayu.blogspot.com/2008/11/iktibar-sejagat.html