Sabtu, November 22, 2008

SYAIR & PERINGATAN kepada PEMIMPIN MASYARAKAT & YANG BERHORMAT ..khas dari rakyat marhaen....




*2 gambar diatas adalah hiasan semata-mata dan adalah hasil lukisan potrait oleh saudara ahmad hasrol...dan hanyalah tujuan iklan semata-mata : maksudnya jika ada pemimpin masyarakat atau ahli politik nak buat wajah potrait mereka , hubungilah saya , insyaallah dengan bangga kami bagi sebutharga dan memberi perkhidmatan yang terbaik .




UNTUKMU YANG BERHORMAT

Saat saban malam kau ke desa
Meraih simpati dan undi
Dan saat kau tak segan
Bermain lecah dan selut di sawah
Kau hulur tangan pada nelayan
Dipinggir pantai
Biar kau tahu hanyirnya
Lekat sampai ke malam

Saat kau menangis hiba
Melihat halamanmu penuh sampah 'kemiskinan'
Didepanmu debu 'rasuah' bertaburan
Entah dari mana datang bau busuk 'penyelewengan'
Dan betapa pincang sistem sosial
yang berpenyakit itu
Yang semuanya menyedarkan mu"
Aku harus berbuat sesuatu!"

Lalu kau telusuri
Jalan berliku
Saat itu aku tahu
Tak ramai teman bersama mu
Ramai juga yang lari
Malah ada juga yang malu-malu mengaku kawan
Tak kurang yang mencebik rasa
Dengan sinis berkata
'wang tiada,boleh menang ka!"

Dan kini kau sudah berdiri
Sebagai pemimpin dengan wajah berseri
Kau dijulang bangga
Dalam diam sudah ada yang mengira
"untung kita,untung kita"

.Ketahuilah
Yang datang menjengukmu
Ada yang ikhlas membantu
Ada yang terharu
Ada yang berharap berubah sesuatu
Tak kurang yang dulu mencercamu
kini datang dengan fail dan surat
Minta diluluskan cepat
peruntukan kononnya untuk rakyat
Dalam diam mereka merembat
!Sambil megah mereka berkata
"dia sejama'ah dengan kita
Kita manfaatkan untuk kita sahaja
Sekat yang lain dari menghampirinya".

Mereka dulu pernah kau minta membantu
Jenteramu tak kukuh untuk bekerja
pitismu tak cukup untuk dihulur
pada sekelian rakyat
yang merempat
Namun mereka membisu
sambil malu-malu meminta diri
konon nanti dibawa wang berguni-guni
jentera berlori
Hingga kini tak tertunai janji.

Ingatlah wahai Yang Berhormat
Diluar sana ramai yang bermuka talam
Konon-konon membantu
tapi menyamun
konon-konon ikhlas
tapi merampas
konon-konon sahabat
tapi musibat

Syaitan kadang-kadang
tak malu mengaku malaikat
penipu kadang-kadang
tak malu mengaku jujur
penyamun kadang-kadang
tak malu mengaku pejuang

Kau selidikilah mereka itu
yang kini datang merapati dirimu
yang dapat dengan senyum simpul
Dengan ketawa berdekah-dekah
Bisakah mereka menangis bersamamu?

Betapa ramai orang terdahulu sebelummu
Yang sedar dan insaf
betapa rakyat harus dibela
tapi tersungkur juga akhirnya
bukan kerana tidak jujur
Tapi pembantu yang punya kepentingan
isi perut mereka diutamakan
Rakan 'sejama'ah' yang mendapat habuan
Sedang rakyat dibawah sana
membawa tempurung menagih janji
Yang kau sendiri taburi
Anak-anak mereka seperti anakmu sendiri
Ditahan pembantumu
Dihalau keluar rakan sejama'ahmu
Lalu mereka mengadu
Pada yang satu
Moga kau.....

Ingatkah kau pada nenek tua dikawasanmu
Yang atap rumah nya bocor selalu
Ingatkah kau pada nelayan
yang carik pukatnya
patah dayungnya
Ingatkah kau pada ibu tua
Yang bersawah cara dahulu
tanpa jentera dan mesin baru
kerana peruntukan 'hanya lalu'
kemudian masuk ke poket tertentu
YA,mereka ini yang pernah kau janji akan dibantu
Mereka inilah sahabatmu
Sentiasa tunduk malu
kerana menghormati dirimu
Segan meminta
Mahu hidup dengan usahanya sendiri
Tak pernah melawatmu
Kerana sedar kau punya tugas lebih besar
tak seperti rakan sejama'ahmu
konon datang membantu
tapi mengharapkan sesuatu

Yang berhormat
Bukan mereka rakan sejama'ahmu
yang mengundimu
Ibu tua tanpa anak itu
Yang mengundimu
Nelayan beranak kecil
Yang tak mampu membeli susu
Yang mengundimu
Janda anak ramai
Yang tak mampu disekolahkan itu
Yang mengundimu
Penjual nasi lemak dan air tebu
Tanpa lesen itu
Yang mengundimu

YA,mereka ini yang merempat
Yang mengundimu
Rakyat marhaen
Yang tak pernah mengharap
Cuma doa saban waktu
Semoga kau terus sihat
Hidup dalam berkat

Bukan si penyangak berlakon alim
Bukan si rakan yang akan menerkam
Yang tak pernah menghulurkan bantuan
Tika kau memerlukan

Mereka inilah sahabatmu
Yang pernah kau minta membantu
Tanpa segan silu
Memberi undi pada mu!

Justeru itu,
Dibawah naungan kubah keamanan
mari kita rapatkan saf
menadah tangan dan berdoa
YA RABB,lindungilah rakyat dan negara ini
dari nikmat yang kian sirna
dari petaka yang bakal menjelma

Demiikianlah hari ni
ada kesukaan yang mendukacitakan
menyemai benih fitnah dan kedengkian
menyubur pucuk-pucuk semangat
melebarkan jalur persengketaan
di tengah perladangan bangsa

Biarpun kita berselisih pandangan
biarpun kita tidak sefahaman
biarpun jalan tidak sehaluan
namun demi agama,bangsa dan negara
Ada yang perlu kita korbankan

Dibawah naungan kubah keamanan
Mari kita sisihakan kejahatan dari kebaikan
Mari kita hindarkan kehuruharaan dari keamanan
Mari kita jauhkan permusuhan dari persahabatan
Mari kita lontar jauh kebodohan dari kebijaksanaan

YA RABB,kami wariskan keamanan itu
untuk seluruh anak bangsa.

DIDEKLAMISKAN OLEH ANAKANDA YB HJ ROSLAN SHAHARUM DI MAJLIS JAMUAN HARI RAYA .PAS KAWASAN BKT GANTANG.

DIEDIT
baspas:

sumber : http://parlimen059.blogspot.com/

" if u take a risk for honourable objective's , insyaallah a star ( jannah )belong to you.."